CIDB MALAYSIA DAN KERAJAAN NEGERI KELANTAN METERAI MOU UNTUK PEMBANGUNAN TAMAN PERINDUSTRIAN IBS

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email

245158459_417165626642803_5527730987597973330_n.jpg (1440×960)

Sumber gambar daripada Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kerja Raya

 

Pembangunan Taman IBS akan memperkasakan rantaian bekalan dan meningkatkan kapasiti industri pembinaan dalam penggunaan teknologi IBS

KOTA BHARU (17 Oktober 2021) – Kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bersama Kerajaan Negeri Kelantan bakal mewujudkan Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang pertama di negara ini. Kerjasama ini dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh CIDB bersama Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Taman Perindustrian IBS ini yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Kecemerlangan IBS di Kelantan akan dibangunkan di tanah berkeluasan 200 ekar di Sungai Bagan, Machang yang telah disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Ia akan memperkukuhkan jaringan ekosistem IBS di Malaysia seterusnya dapat meningkatkan bilangan penggiat IBS terutamanya di kalangan Bumiputera dan usahawan kecil dan sederhana (SMEs). Pembangunan Taman Perindustrian IBS ini selari dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 dan akan dibangunkan di dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Di bawah RMKe-12, CIDB melalui Kementerian Kerja Raya telah membuat permohonan peruntukan RM74 juta kepada EPU bagi Pembangunan Taman Perindustrian ini. Penggunaan IBS secara menyeluruh dapat membantu dalam mengurus kos pembinaan perumahan. Insentif IBS juga akan disemak semula untuk menggalakkan pemaju menggunakan teknologi IBS bagi meningkatkan kualiti, mengawal kos dan meningkatkan kecekapan.

Taman Perindustrian IBS ini akan mengumpulkan semua pengusaha produk-produk pembinaan terutama yang berkaitan IBS dan teknologi muncul (emerging technologies), menjadikannya Pusat Rujukan Setempat (One Stop Center) bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan industri pembinaan di Pantai Timur. Program Kecemerlangan IBS ini bakal memberi peluang pekerjaan kepada lebih 3500 tenaga kerja. Konsep Taman Perindustrian IBS ini juga turut dibangunkan di beberapa negeri lain yang akan membantu keseluruhan ekosistem sektor pembinaan di Malaysia. MoU ini ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Kelantan, YB Dato’ Kaya Setia Datuk Nazran Bin Muhammad dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Bin Abdul Hamid. Majlis disaksikan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob serta Menteri Kanan (Infrastruktur) Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Sri Mustapa Bin Mohamed.