Polisi Anti-Rasuah

Komitmen CIDB IBS dalam menjayakan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (SPAR) ISO 37001:2016 adalah untuk mencegah rasuah dan memastikan bahawa orang yang bertindak bagi pihak CIDB IBS juga mematuhi dasar anti-rasuah yang ditetapkan oleh CIDB IBS.

Selain itu, penglibatan pihak ketiga seperti konsultan, pembekal atau rakan kongsi secara tidak langsung akan terlibat dalam pematuhan dasar anti-rasuah yang diwujudkan dengan memberikan komitmen mereka melalui pematuhan semua peraturan yang ditetapkan oleh CIDB IBS.

Rasuah dalam konteks Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) membawa maksud memberi atau menawarkan, menerima atau meminta atau setuju untuk menerima atau meminta suapan secara langsung atau tidak langsung sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi.

Pihak CIDB IBS komited untuk mempraktikkan tadbir urus terbaik melalui pengurusan risiko rasuah secara terancang demi memberikan perkhidmatan yang cekap dan berintegriti kepada pihak berkepentingan di samping memastikan kawalan serta penambahbaikan dijalankan secara strategik dan berterusan.

Polisi Anti-Rasuah CIDB IBS ini diwujudkan bagi menerangkan dasar CIDB IBS mengenai peraturan serta larangan terhadap sebarang aktiviti berbentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Polisi ini juga adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan lain-lain akta serta peraturan yang berkaitan dan sedang berkuatkuasa. Melalui Polisi ini, ianya dapat membentuk satu hala tuju yang jelas di kalangan pegawai dan kakitangan CIDB IBS untuk bersama-sama dalam usaha membanteras jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam industri pembinaan.

Polisi Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (SPAR) ini juga sebagai tanda komitmen pegawai dan kakitangan CIDB IBS dalam menambahbaik SPAR, memantapkan kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan yang terbaik, telus dan amanah selaras dengan visi “Untuk menjadi peneraju untuk pembangunan dan transformasi IBS”.

Dengan diterajui oleh Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) CIDB IBS yang berwibawa, bebas dan berautoriti, SPAR dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berupaya untuk menggalakkan pemberian maklumat secara telus pada tahap perlindungan maklumat yang tinggi tanpa kebimbangan yang melampau terhadap tindakan balas.

Sekiranya polisi ini diabaikan atau tidak dipatuhi dengan berkesan, tindakan menurut tatatertib CIDB IBS atau hukuman mengikut undang-undang boleh dikenakan tanpa ragu sebagai peringatan kepada warga kerja CIDB IBS.

Dengan pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (SPAR) ini, maka CIDB IBS akan berusaha untuk mencapai objektif-objektif pengurusan rasuah berikut:

  1. Memastikan staf CIDB IBS menghadiri kursus dan latihan berkaitan kesedaran mengenai kesalahan-kesalahan yang terdapat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, usaha-usaha pencegahan rasuah, salahguna kuasa, dan penyelewengan;
  2. Membentuk staf yang berintegriti dan bebas rasuah sebagai dasar yang kukuh bagi mencapai matlamat CIDB IBS untuk memberikan perkhidmatan yang cekap secara berterusan;
  3. Memastikan semua aduan berhubung kelakuan tidak wajar yang diterima diuruskan dengan cekap dan telus mengikut prosedur yang telah dibangunkan.

Sebarang aduan boleh dilaporkan menerusi saluran berikut:

  1. Hadir sendiri untuk berjumpa atau menghubungi pegawai kami:
     
    Puan Fatimah Shahari
    Ketua Jabatan Kewangan dan Sumber Manusia
     
    Encik Reziekahadinata Masnim
    Eksekutif Kewangan
     
  2. E-melkan aduan anda ke alamat e-mel aduan@cidbibs.com.my atau
  3. Menghantar surat ke alamat (Surat layang atau surat tanpa penama adalah diterima):

     

    CIDB IBS Sdn Bhd
    Lot 8, Jalan Chan Sow Lin,
    55200, Kuala Lumpur, Malaysia.

This website uses cookies to ensure you get the best experience on our website.