PINDAAN JADUAL KEEMPAT, AKTA 520, MENGENAI STANDARD PRODUK DAN BAHAN BINAAN DIWARTAKAN 10 SEPTEMBER 2021

PINDAAN JADUAL KEEMPAT, AKTA 520, MENGENAI STANDARD PRODUK DAN BAHAN BINAAN DIWARTAKAN 10 SEPTEMBER 2021

Senarai produk dan bahan binaan dikemaskini bagi memastikan kualiti produk dan bahan binaan yang digunakan di dalam negara mematuhi standard terbaharu

KUALA LUMPUR (4 Oktober 2021) – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah mengeluarkan Perintah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Pindaan Jadual Keempat) 2021 bagi memastikan senarai produk dan bahan binaan yang terkandung di dalam jadual tersebut adalah mengikut standard terkini. Pindaan Jadual Keempat, di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (Akta 520) tersebut telah diwartakan pada 10 September 2021 dan mula dikuatkuasakan pada 13 September 2021. Pindaan tersebut dibuat bagi mengemaskini senarai produk dan bahan binaan yang dikuatkuasakan. 22 produk baharu telah dimasukkan merangkumi satu produk di dalam kategori kaca, lima produk besi dan keluli, serta 16 produk komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS) beserta dengan 28 standard tambahan. Pindaan ini bertujuan memastikan setiap produk dan bahan binaan yang digunakan mematuhi standard terkini yang ditetapkan untuk menjamin keselamatan dan kesihatan awam serta melindungi pengguna daripada mendapat produk dan bahan binaan yang tidak berkualiti. Sebagai langkah memberi peluang kepada industri untuk lebih bersedia menghayati pindaan ini dan mengambil langkah sewajarnya, penguatkuasaan oleh CIDB akan bermula Mac 2022.

Surat Pekeliling berkenaan pemindaan dan tarikh kuatkuasa telah dikeluarkan kepada semua pihak sama ada individu atau organisasi yang berurusan, mengendalikan, menggunakan, mengilangkan, membekalkan, memasarkan, memindahkan, menjual atau membeli, sama ada secara borong atau runcit, mengimport atau mengeksport produk dan bahan binaan yang tersenarai dalam Jadual Keempat. Di bawah Akta 520, mana-mana pihak yang didapati bersalah berurusan dengan produk dan bahan binaan yang tersenarai di dalam Jadual Keempat tanpa perakuan CIDB boleh didenda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak melebihi RM500,000. Permohonan untuk mendapatkan PPS boleh dibuat melalui laman ccpm.cidb.gov.my. Perintah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Pindaan Jadual Keempat) 2021 boleh dimuat turun dari laman web rasmi CIDB (www.cidb.gov.my). Untuk maklumat lanjut, sila hubungi CIDB Careline di talian 03-5567 3300.

This website uses cookies to ensure you get the best experience on our website.