Kelantan peroleh RM1.6 bilion pelaburan tahun lepas

PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan. FOTO Arkib NSTP

Kota Bharu: Kelantan memperoleh pelaburan sebanyak RM1.6 bilion melalui enam projek dan sektor pembangunan menjadi penyumbang tertinggi pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Hanifa Ahmad berkata, sektor pembangunan menyumbang RM1 bilion pelaburan membabitkan Projek Pembangunan Bandar Perabot di Gua Musang.

“Antara lain, projek Taman Industri Industrialised Building System (IBS) di Machang dengan jumlah pelaburannya RM300 juta.

“Dua projek ini sahaja boleh membuka peluang pekerjaan kepada 5,000 orang apabila ia beroperasi sepenuhnya,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Rohani Ibrahim (PAS-Tanjong Mas) yang ingin tahu mengenai jumlah pelaburan diperoleh tahun lepas, sektor manakah yang mendapat pelaburan tertinggi serta peluang pekerjaan yang baharu khususnya kepada anak muda Kelantan.

Sementara itu, Hanifa turut menjawab soalan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) berhubung perkembangan Projek Pembangunan Bandar Perabot di Gua Musang yang dirasmikan Menteri Besar pada 10 September 2020.

“Fasa pertama (projek itu) dengan keluasan 50.181 hektar telah mengeluarkan 16 lot kilang manakala lima lot lagi membabitkan infrastruktur asas antaranya tangki air, pencawang tenaga nasional, tapak kumbahan, nurseri dan kawasan lapang.

“Setakat hari ini, dua syarikat dalam proses penyediaan permohonan kebenaran merancang dengan kerajaan bagi kilang perabot luar dan kilang kumai,” tambahnya.

Sumber: BERNAMA by myMetro

This website uses cookies to ensure you get the best experience on our website.