MARA DAN CIDB METERAI MOU TINGKATKAN KAPASITI KONTRAKTOR IBS BUMIPUTERA

mara dan cidb
Sumber dari KKR
KUALA LUMPUR (2 November 2021) – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai inisiatif bersama dalam meningkatkan keupayaan dan kemampanan kontraktor Bumiputera supaya lebih berdaya saing di dalam industri pembinaan.
MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid dan Ketua Pengarah MARA, Dato’ Azhar Abdul Manaf, disaksikan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusuf dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid.
Di dalam MoU tersebut, CIDB akan menyediakan program pembangunan industri Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang berstruktur dan komprehensif dalam membangunkan rantaian bekalan IBS manakala MARA akan menyediakan latihan keusahawanan dari segi pengurusan, kewangan dan pemasaran, selain memberi khidmat nasihat, pembiayaan perniagaan dan menyediakan premis perniagaan yang bersesuaian dengan keperluan penggiat industri yang terlibat. CIDB dan MARA akan bekerjasama dalam membangunkan dan memudahcara usahawan IBS, melalui Program Pembangunan Vendor (VDP) IBS.
Sehingga kini, sebanyak 187 pengeluar IBS yang berdaftar, aktif dan mempunyai pensijilan IBS Manufacturer & Product Assessment & Certification (IMPACT) dari CIDB. Dari jumlah ini, sebanyak 42 syarikat adalah milik bumiputera. Bagi program pembangunan kapasiti dan latihan, CIDB telah melatih seramai 6,000 personnel bagi latihan Pengurusan IBS dan seramai 5,000 yang telah dilatih untuk pelbagai modul latihan IBS. Selain dari latihan pengkhususan IBS, CIDB turut melaksanakan program latihan Building Information Modelling (BIM) yang mana seramai 3,000 peserta telah dilatih untuk 12 modul latihan BIM. Secara dasarnya, CIDB telah membelanjakan bajet sebanyak RM10 juta bagi program pembangunan kapasiti ini sejak 2016.
Pembangunan usahawan dalam industri pembinaan di MARA pula sebenarnya telah lama dilaksanakan. Usaha berterusan bagi memastikan kontraktor Bumiputera dapat lebih berdaya saing telah dilaksanakan melalui program latihan yang komprehensif dan berstruktur untuk meningkatkan kemahiran teknikal dan pengurusan. Sepanjang tempoh perlaksanaan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) seramai 2,860 usahawan/ kontraktor telah menerima latihan peningkatan.
Bagi program pembangunan vendor (VDP), CIDB telah membangunkan 2 vendor, Precast Engineering Sdn Bhd dan Mutual Premium Sdn Bhd. Melalui program VDP CIDB mereka sekarang mempunyai kapasiti sebagai pengeluar sistem konkrit pra- tuang, kontraktor IBS dan pemasang IBS yang berlokasi di Kelantan dan Kuala Lumpur. Bagi kerjasama bersama MARA, CIDB menganggarkan sebanyak 8 vendor dapat dibangunkan yang terdiri daripada bumiputera usahawan MARA.
Bagi menyokong kelangsungan kontraktor Bumiputera, MARA telah menambahbaik kemudahan pembiayaan perniagaan dengan menyediakan skim kemudahan pembiayaan khas melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress (SPiKE). SPiKE merupakan kemudahan pembiayaan kewangan jangka pendek yang disediakan kepada kontraktor Bumiputera meliputi aktiviti pembinaan, pembekalan, perkhidmatan dan elektrik. Bagi tempoh 2016 sehingga 2020, seramai lebih 11,000 usahawan/ kontraktor telah menerima manfaat pembiayaan SPiKE dengan nilai pembiayaan sebanyak RM1.42 bilion.
MARA juga sentiasa mencari ruang dan peluang bagi memastikan graduan lepasan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) serta pelatih GIATMARA dalam bidang seni bina dan teknologi bangunan menjadi modal insan yang kompeten di pasaran pekerjaan.Justeru, kerjasama bersama CIDB merupakan satu kolaborasi industri yang tepat dalam memacu pembangunan industri pembinaan dalam negara. Peranan CIDB dalam mengawal selia, membangun, mengembangkan serta bertindak sebagai penasihat dalam industri ini dijangka mampu menyokong usaha MARA dalam mencetuskan perubahan dalam industri pembinaan di kalangan kontraktor Bumiputera.
CIDB, menerusi anak syarikatnya CIDB IBS Sdn Bhd juga menyediakan latihan IBS kepada usahawan yang dibiayai oleh MARA. Setakat ini seramai 132 kontraktor dan personnel binaan Bumiputera telah dilatih oleh CIDB IBS melalui program kerjasama dengan MARA. Selain itu, CIDB juga akan memudahcara usahawan latihan MARA dalam membangunkan perniagaan mereka di dalam Taman perindustrian IBS yang pembangunannya sedang di dalam perancangan oleh CIDB Malaysia.
Selain daripada pembangunan usahawan bumiputera di dalam bidang IBS, MARA dan CIDB juga bersetuju bekerjasama di dalam perkara lain yang bermanfaat bagi mencapai objektif kedua-dua organisasi.
 

This website uses cookies to ensure you get the best experience on our website.